Friday, May 20, 2011

Draf Perintah Siap

Alhamdulillaah, another step towards the realization of Negara Zikir Brunei Darussalam. :)

"Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei - Draf Perintah (Undang-Undang Jenayah Syariah) yang mengandungi jenayah-jenayah hudud, qisas dan diat yang belum dimaktubkan dalam mana-mana akta atau perintah atau undang-undang Brunei baik syariah mahupun sivil, telah pun siap, dan apabila dikuatkuasakan nanti banyak jenayah dan gejala sosial yang membimbangkan berlaku dalam negara ini dapat dikurangkan atau lebih baik lagi dihapuskan sama sekali.

Dalam Bahagian IV Draf berkenaan, di bawah tajuk Kesalahan-Kesalahan, terdapat jenayah-jenayah Hudud seperti Sariqah (curi), Hirabah, Zina, Qazaf dan sebagainya, manakala dalam Bahagian V pula terdapat jenayah Qisas dan yang berkaitan dengannya seperti Diat dan Arsy.

Menurut bekas Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Hamid Bakal (gambar), ia menunjukkan kerajaan telah pun berjaya dalam usahanya menyesuaikan sebahagian besar undang-undang Brunei dengan hukum syarak walaupun mengambil masa yang agak panjang mengenainya.

Menurut maklumat yang diberikan oleh pihak Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, setakat ini sudah ada 278 Akta dan 27 Perintah undang-undang yang telah selesai diteliti dan disesuaikan dengan hukum syarak, manakala ada 142 Akta dan 15 Perintah undang-undang yang telah diteliti dan didapati langsung tidak berlawanan dengan hukum syarak, jelas beliau.

Bagaimanapun draf berkenaan masih belum dapat disokong untuk tujuan penguatkuasaannya kerana ia masih perlu dihalusi lagi dan masih perlu dilengkapi dengan berbagai aturan yang tidak dapat tidak mesti ada, apabila Perintah itu dikuatkuasakan nanti.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan demikian ketika merasmikan Seminar Isu-Isu Kontemporari Dalam Syariah dan Undang-Undang yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

Beliau dalam ucaptamanya seterusnya menjelaskan jika ia belum dilengkapi sedemikian, pasti mahkamah bicara akan menghadapi kesulitan bahkan ada kemungkinan boleh menjejaskan keadilan dan menimbulkan kezaliman.

Sehubungan itu beliau mengemukakan empat daripada banyak isu, perkara atau aturan yang mesti diadakan sebagai pelengkap draf berkenaan, yang perlu dibincangkan dalam seminar anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) itu dan seterusnya mencadangkan perbincangan yang disepakati itu kepada pihak penggubal undang-undang.

Pertama: mengenai aturan bagaimana cara sebenar hukuman sebat dan rejam dilaksanakan, Kedua: mengenai aturan bagaimana wali mangsa bunuh membuat pengampunan kepada pembunuh dan bagaimana serta berapa banyak jumlah diat yang perlu dibayar oleh pembunuh.

Ketiga: mengenai aturan bagaimana menentukan sama ada satu kejadian jenayah yang telah selesai dibuat siasatan oleh pihak polis terhadap suspek bunuh dengan sengaja misalnya akan didakwa. Jika dalam perkara itu didapati ada kes Qisas, pihak manakah yang akan menentukan sama ada perkara itu dijadikan kes Qisas atau bukan Qisas.

Keempat: mengenai memberi kefahaman yang meluas kepada orang ramai, pihak manakah yang perlu memainkan peranan memberi penerangan atau kempen kesedaran tentang Perintah (Undang-Undang Jenayah Syariah) itu sama ada sebelum atau sesudah ia dikuatkuasakan dan lain-lain isu yang ada hubungkait dengan Perintah berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa Allah Ta'ala menetapkan hukuman-hukuman berat bagi jenayah-jenayah hudud dan qisas itu tidak lain melainkan untuk mencegah manusia supaya jangan sekali-kali melakukan jenayah itu jika ingin selamat dari hukuman bunuh atau rejam atau sebat atau potong tangan dan sebagainya, dan ingin selamat daripada seksa dan azab Allah Ta'ala di akhirat kelak.

Ketika menyampaikan Kertas Perdananya di seminar itu beliau turut mengungsikan pengalamannya ketika mula memegang jawatan Ketua Hakim Syarie pada 26 Mac 2011 sebagai pengajaran. Beliau menceritakan pada ketika itu Aturan-Aturan Mahkamah Syariah (Peguam Syarie) 2002 belum wujud lagi, menyebabkan peguam-peguam Syarie belum dapat dilantik, padahal pada masa itu kes-kes rayuan sudah banyak menanti untuk diselesaikan.

"Natijahnya kes-kes rayuan itu terpaksa ditangguh bicaranya sehinggalah Aturan berkenaan dikuatkuasakan lebih setahun kemudian, memandangkan ramai pihak perayu berhajat untuk menggunakan khidmat Peguam Syarie dalam rayuan mereka, tetapi Peguam Syarie belum ada berikutan aturan bagi melantik mereka belum ada."

Penangguhan bicara itu menyebabkan timbulnya sungutan daripada pihak-pihak yang terlibat, sehingga ada 2-3 kali orang ramai menulis di dalam akhbar-akhbar tempatan mengenai isu berkenaan, ceritanya lanjut.

Itulah salah satu akibatnya jika sesuatu undang-undang yang berkuatkuasa tetapi aturan-aturan mustahak mengenainya tidak atau belum dibuat dan dikuatkuasakan bersama, tekannya bagi menjelaskan kenapa Draf Perintah (Undang-Undang Jenayah Syariah) yang sudah siap itu perlu dihalusi dan dilengkapkan lagi sebelum boleh dikuatkuasakan, ujarnya."


Taken from:
http://www.mediapermata.com.bn/rabu/may18t1.htm

No comments: